Keuntungan sebelum cukai RHB Capital Bhd bagi tempoh suku ketiga (Q3) berakhir 30 Sept, 2015 susut kepada RM294.34 juta berbanding RM714.93 juta pada suku yang sama pada 2014.

Hasil berkurangan kepada RM2.64 bilion berbanding RM2.72 bilion sebelumnya, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan RHB, Datuk Khairussaleh Ramli berkata prestasi keseluruhan kumpulan itu memuaskan walaupun mengharungi persekitaran ekonomi dan perniagaan yang mencabar, terutama dalam perbankan pelaburan.

Beliau berkata kumpulan itu akan meningkatkan tumpuannya ke atas pengurusan kecekapan operasi dan mengekalkan kualiti aset yang padu.

"Penyelesaian Skim Peralihan Kerjaya syarikat itu akan mewujudkan organisasi yang lebih kecil namun berkecekapan tinggi," katanya.

Khairussaleh berkata bank itu yakin penyelesaian cadangan terbitan hak dan pengurusan semula peringkat dalaman, yang dijangkakan selesai menjelang suku pertama 2016, akan meletakkan kumpulan itu pada kedudukan yang lebih kukuh untuk mencatat pertumbuhan dan keuntungan.