Keuntungan sebelum cukai Axiata Group Bhd bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2015 menokok kepada RM1.03 bilion daripada RM756 juta yang dicatat dalam tempoh sama tahun lepas.

Pendapatan meningkat kepada RM5.06 bilion daripada RM4.65 bilion sebelum ini, didorong oleh prestasi lebih baik syarikat yang beroperasi (OpCos) dan kelembapan ringgit, katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Kumpulan itu berkata dua OpCos terbesar terus mencatatkan pertumbuhan suku berturut-turut dengan Celcom yang berpangkalan di Malaysia meraih kembali keyakinan pasaran dan dipaparkan menerusi peningkatan tambahan pelanggan bersih manakala XL di Indonesia merekodkan peningkatan keuntungan suku berbanding suku (QoQ).

Axiata berkata hasil inisiatif yang diambil untuk menampan ketidaktentuan mata wang, Kumpulan berjaya mengurangkan kecenderungan kepada hutang dalam dolar AS, terutama di Indonesia.

Kedudukan tunainya kekal kukuh pada RM4.4 bilion.

"Jika diambil kira kesan persekitaran serantau dan global yang mencabar terhadap sentimen pengguna dan pelaburan perniagaan, Kumpulan mencatatkan keputusan keseluruhan yang stabil," kata Pengerusinya Tan Sri Azman Mokhtar dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif DatukSeri Jamaludin Ibrahim berkata ia satu keputusan yang memberangsangkan untuk Kumpulan.

Jamaludin berkata Kumpulan akan terus menumpukan kepada usaha pemulihan Celcom dan agenda transformasi XL.

"Data kekal sebagai keutamaan dan dijangka memacu pertumbuhan yang signifikan dalam seluruh pasaran Axiata seiring aliran peningkatan penembusan telefon pintar. Kami yakin pelaburan secara agresif kami dalam segmen data akan memberi pulangan dalam jangka sederhana," katanya.

Axiata memegang kepentingan mengawal operator mudah alih di Malaysia, Indonesia, Sri Lanka, Bangladesh dan Kemboja serta pegangan strategik di India dan Singapura.