Syarikat penerbangan tambang rendah jarak jauh AirAsia X merekodkan untung sebelum cukai RM186.8 juta bagi tahun penuh 2017 berbanding RM98.9 juta pada 2016, dipacu pendapatan yang tumbuh 17 peratus kepada RM4.56 bilion.

Bagi suku keempat 2017 pula ia merekodkan untung sebelum cukai RM135.6 juta berbanding RM29.9 juta suku sama tahun sebelumnya, kata syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini.

“AirAsia X membawa 5.84 juta penumpang dengan faktor muatan 82 peratus,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia, Tan Sri Tony Fernandes.

“AirAsia X Malaysia terus menambah kapasiti pada suku keempat bagi memenuhi peningkatan permintaan bersempena cuti hujung tahun," kata Kamarudin.

Sementara itu, AirAsia X Thailand turut merekodkan prestasi suku keempat memberangsangkan dengan faktor muatan 91 peratus, pendapatan naik 26 peratus dan untung bersih AS$7.3 juta (anggaran RM28.6 juta).

Manakala prestasi syarikat di Indonesia merosot pada suku berkenaan selepas aktiviti terjejas akibat letusan Gunung Berapi Agung di Bali.

“Bagi 2018 kumpulan AirAsia X bakal menambah enam pesawat sewaan A330. Ia penambahan pesawat kali pertama sejak 2015," kata Tony.