Untung sebelum cukai Pharmaniaga Bhd bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Dis 2015 susut kepada RM112.72 juta berbanding RM125.58 juta yang dicatatkan pada tempoh sama 2014.

Perolehan meningkat kepada RM2.19 bilion daripada RM2.12 bilion tahun sebelumnya, demikian menurut syarikat dalam satu kenyataan hari ini.

Pharmaniaga berkata bahagian pembuatan merupakan penyumbang utama bagi tahun kewangan berkenaan.

Keuntungan sebelum cukainya naik kepada RM100 juta daripada RM86 juta pada tahun kewangan sebelumnya, katanya.

"Ia didorong oleh pengoptimuman kos dan langkah-langkah kecekapan berterusan dalam keseluruhan kilang pembuatan kumpulan, yang membawa kepada kos pengeluaran dikurangkan," katanya.

Menurut syarikat itu, bahagian logistik dan pengedaran bagaimanapun mencatatkan keuntungan sebelum cukai yang lebih rendah sebanyak RM12 juta, berbanding RM40 juta in 2014.

"Ini terutamanya disebabkan oleh kurangnya pesanan kerajaan, peningkatan aktiviti promosi, perbelanjaan pengedaran dan penjualan yang lebih tinggi serta pelunasan bagi Pharmacy Information System," katanya.

Pengerusinya Tan Sri Lodin Wok Kamaruddin berkata keputusan berkenaan memuaskan memandangkan cabaran luar yang pelbagai termasuk kelembapan ekonomi dunia dan kemerosotan ringgit.

"Tahun 2016 akan mencabar memandangkan tekanan ini berterusan, kami akan mengekalkan keazaman untuk mengukuhkan kedudukan dalam rantaian nilai utama sebagai pembekal penyelesaian penjagaan kesihatan bersepadu.

"Mengenai masa hadapan, tentunya terdapat prospek yang cerah untuk diterokai dalam sektor farmaseutikal," katanya.