Hartalega Holdings Berhad (Hartalega) memulakan tahun kewangannya dengan kukuh dan telah mencatatkan untung selepas cukai RM125 juta untuk suku pertama berakhir 30 Jun 2018.

Keputusan ini mencerminkan peningkatan 29.7% berbanding RM96.4 juta yang dicatatkan pada suku tahun yang sama tahun lepas.

Untung sebelum cukai meningkat sebanyak 26% kepada RM145.8 juta manakala hasil bertambah 17.5% kepada RM706.3 juta.

Pendapatan sesaham bagi suku tahun ini berjumlah 3.77 sen, manakala nilai aset bersih sesaham berjumlah RM0.62 pada 30 Jun 2018.

Pengarah Urusan Hartalega Holdings Berhad Kuan Mun Leong berkata beliau yakin dengan prestasi syarikat itu.

“Kejayaan ini dicapai berasaskan pertumbuhan permintaan yang kukuh terhadap sarung tangan nitril dan disokong oleh peningkatan kapasiti pengeluaran di Kompleks Pengilangan Sarung Tangan Bersepadu Generasi Akan Datang (NGC) kami,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, pihaknya meramalkan inovasi terbaru mereka - sarung tangan antimikrob tidak melekit - akan menyumbang kepada pertumbuhan syarikat.

"Dilancarkan di London pada Mei 2018, kami telah mula menerima pesanan jualan bagi sarung tangan baharu ini di Kesatuan Eropah.

"Kini kami dalam proses mendapatkan kelulusan FDA untuk memasuki pasaran Amerika Syarikat,” ujarnya.