Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) hari ini memberi jaminan bahawa rancangannya untuk membeli 37 peratus ekuiti dalam syarikat Indonesia, PT Eagle High Plantations Tbk (EHP), tidak akan menjejaskan kesejahteraan peneroka.

Ini berikutan urus niaga itu membabitkan pelaburan dengan pembiayaan sendiri dan tidak menggugat kepentingan golongan peneroka berkenaan.

Malah, dalam satu kenyataan, Felda menegaskan nilai urus niaga pembelian ekuiti itu pada harga US$505.4 juta (RM2.26 bilion) merupakan nilai yang lebih baik berbanding transaksi lain melibatkan syarikat minyak sawit Indonesia, baru-baru ini.

"Urus niaga ini tidak akan menjejaskan komitmen sedia ada dan program-program Felda untuk meningkatkan kesejahteraan peneroka," katanya.

Pada Jumaat lepas, Felda mengumumkan ia menerusi anak syarikatnya, FIC Properties Sdn Bhd, akan membeli kepentingan saham EHP dan sudah menandatangani Perjanjian Jual Beli (SPA) dengan Rajawali Group.

Selain itu, Felda turut menyangkal dakwaan bahawa ia membayar premium terlalu tinggi sebanyak 173 peratus bagi harga pasaran saham EHP dan menegaskan bahawa harga saham bukanlah kaedah penilaian yang diterima apabila membabitkan syarikat perladangan.

"Harga saham itu mungkin tidak mencerminkan nilai sebenar EHP. Penilaian yang diterima merupakan nilai perusahaan (EV) sehektar iaitu US$16,000 EV sehektar dan inilah yang Felda bayar untuk kepentingan 37 peratus.

"Nilai ini adalah lebih baik jika dibandingkan dengan urus niaga lain baru-baru ini yang melibatkan syarikat minyak sawit Indonesia," katanya.

Felda turut memetik tawaran akhir dibuat oleh KL Kepong Bhd baru-baru ini membabitkan US$15,500 EV/sehektar yang ditolak oleh Lembaga Pengarah MP Evans kerana penilaian bebas meletakkan nilai sebenarnya pada US$17,300 EV/sehektar.

"Lembaga Pengarah MP Evans meminta penilaian syarikat itu pada US$24,000 EV/sehektar. Pada nilai USD505.4 juta (RM2.26 bilion), Felda membeli kepentingan EHP pada nilai US$16,000 EV/sehektar.

"Kawasan perladangan MP Evans yang telah ditanam adalah 31,400 hektar manakala kawasan EHP yang ditanam pula 125,000 hektar. Oleh itu, FELDA mempunyai akses kepada tanah yang empat kali lebih luas daripada saiz tanah ladang MP Evans pada kadar EV sehektar yang lebih rendah.

"Selain itu, pembelian New Britain Palm Oil Ltd oleh Sime Darby pula pada US$27,000 EV sehektar," katanya.

Selain itu, jelas Felda, harga saham itu juga tidak menggambarkan nilai sebenar kerana 70 peratus saham-saham EHP dikawal oleh Rajawali Group, malah ia disenaraikan di Bursa Saham Jakarta yang tidak secair di Bursa Malaysia atau Bursa Saham Singapura.

Sehubungan itu, harga belian itu mengambil kira nilai kekurangan EHP dan tiada ladang lain sebesar itu yang ditawarkan untuk dijual, terutamanya pada penilaian sedemikian, katanya.

"Inilah peluang terakhir untuk Felda/Malaysia atau mana-mana pihak asing lain untuk melabur dalam sebuah syarikat Indonesia yang memiliki tanah simpanan yang amat luas. Kerajaan Indonesia juga bersetuju untuk memberi pengecualian sekali ini sahaja menerusi perjanjian ini," kata Felda.

Menurut Felda, perjanjian itu akan turut meningkatkan profil tanamannya kerana purata usia pokok-pokok di EHP adalah tujuh tahun berbanding 15 tahun pokok di ladang-ladang Felda/FGV selain akan wujud lebih banyak peluang kolaboratif urus niaga jual beli antara Felda/FGV dan EHP.

"(Ia juga menyediakan) potensi perniagaan baharu dan sinergi untuk Kumpulan Felda dalam bidang semaian, baja, urus niaga MSM (minyak sawit mentah), hiliran/oleokimia serta peluang untuk produk akhir dan produk pengguna keluaran Kumpulan Felda memasuki pasaran Indonesia yang luas dengan penduduk seramai 260 juta orang," katanya.

Malah, jelas Felda, pelaburan dalam sebuah syarikat yang merupakan pemain utama dalam industri minyak sawit di Indonesia juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan Malaysia terus menjadi penggiat utama industri minyak sawit global.

"Ia akan bertindak sebagai pencetus untuk bergerak ke hadapan dalam agenda Majlis Negara-negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) yang baru ditubuhkan iaitu bagi menstabilkan harga minyak sawit global," katanya. -- BERNAMA