Usahawan perlu mendaftar hak harta intelek (IP) mereka sebelum dipasarkan kepada umum bagi melindungi jenama produk dan perkhidmatan mereka daripada pesaing, kata Perunding Harta Intelek IP Gennesis Sdn Bhd, Lawrence Tan.

Menurutnya, kebanyakan usahawan tidak menyedari kepentingan untuk mendaftarkan hak mereka.

Ini mungkin menyebabkan produk dan perkhidmatan mereka mempunyai nama jenama yang sama dengan syarikat-syarikat lain, katanya.

"Sesetengah syarikat hanya mendaftarkan nama mereka selepas beberapa tahun beroperasi dan selepas membelanjakan wang yang banyak bagi pembungkusan.

"Justeru itu, saya ingin menasihati mereka agar mendaftarkan jenama mereka sebaik sahaja mereka memutuskan untuk membuka perniagaan. Dengan berbuat demikian, ia akan membantu mereka melindungi jenama mereka malahan sebelum ia diluluskan lagi," katanya kepada Bernama.

Kelulusan jenama oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia mungkin mengambil masa setahun.

Tan berkata syarikat teknologi multinasional AS, Apple Inc, terpaksa membayar US$60 juta untuk membeli nama 'Ipad' daripada sebuah syarikat China kerana syarikat itu telah menggunakan jenama tersebut beberapa tahun sebelum Apple menembusi pasaran China.

Beliau juga menyarankan syarikat-syarikat agar memilih nama unik yang tidak relevan dengan apa yang mereka jual.

"Jika jenama anda dipanggil Pisang Goreng adalah tidak adil kepada pesaing lain yang juga mahu mendaftarkan jenama yang sama," katanya sambil menambah kos mendaftar jenama ialah sebanyak RM2,000.

Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Usahawan (CEDAR), Dr Sheikh Ghazali Abod berkata perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang menjadi tulang belakang ekonomi negara perlu mula melihat penjenamaan sebagai satu perkara yang penting.

"Penjenamaan tidak perlu mahal asalkan ia dapat mewujudkan kesan kepada pengguna," katanya.

CEDAR ialah unit milik penuh SME Bank.