Usahawan Malaysia diseru untuk mencipta kejayaan dalam pasaran domestik dan global, kata Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Jabatan Perdana Menteri.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Husni Salleh, berkata usahawan-usahawan tempatan boleh mencapai objektif-objektif tersebut dengan mencontohi kejayaan terbaik dalam perniagaan.

"Perusahaan kecil dan sederhana (PKS) adalah digalakkan untuk berdaya saing dan mencontohi jenama antarabangsa," katanya kepada pemberita semasa pra-pelancaran 'Sidang Kemuncak Pemasaran Global : Jual Jenama Anda kepada Dunia' di sini pada Isnin.

Katanya, sidang kemuncak itu akan menyediakan platform yang menjadi sumber inspirasi dan aspirasi kepada syarikat-syarikat Malaysia, terutamanya PKS.

Acara sehari itu akan menonjolkan penceramah terkenal seperti pengasas bersama Starbucks iaitu Zev Siegl, bekas Pengarah Pemasaran Manchester United Peter Draper, pengarah Urusan Porsche dan BMW, Kevin Gaskell serta pemenang Apperentice Asia, Jonathan Yabut.

Sidang kemuncak itu dianjurkan oleh unit induk TERAJU, Institut Keusahawanan Negara, dengan tujuan untuk mendidik dan memberi inspirasi kepada usahawan tempatan mengenai bagaimana mahu melonjakkan jenama Malaysia ke seluruh dunia.

Ia akan diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada 16 Nov 2017.

-- BERNAMA