Impak COVID-19 memberi kesan kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS) untuk berubah dan menyesuaikan diri dengan perniagaan digital bagi memastikan kelangsungan syarikat.

Pengasas syarikat berasaskan makanan Mama Best Food Manufacturer Sdn Bhd, Datin Rozilah Abdullah berkata, syarikat itu berdepan kerugian sehingga 80 peratus ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ini memaksa syarikat itu melakukan perubahan segera terhadap strategi pemasaran produk.

Selain itu, jelas pemilik syarikat pau sejuk beku halal pertama di Sabah itu, perubahan tersebut juga perlu bagi menyelamatkan kakitangannya daripada hilang sumber pendapatan.

“Alhamdulillah, dalam tempoh masa yang singkat kami mampu menyesuaikan diri (pendekatan baharu) walaupun dalam keadaan yang agak perlahan.

“Setelah program PENJANA Kerjaya Perkeso diperkenalkan kami membuka peluang pekerjaan yang baharu sebab pada ketika sebelum pandemik, kakitangan dan pasukan pemasaran kami sangat tradisional.

“Kami berjumpa (pelanggan) secara fizikal dan memang terhad, tidak ramai yang kami jumpa. Jadi kami mula melantik pasukan pemasaran jualan yang boleh menjalan promosi dalam talian,” katanya ketika ditemui Astro AWANI, di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut, Rozilah berkata mekanisme baharu termasuk menggunakan teknologi telah mula membuahkan hasil apabila perniagaannya kembali rancak.

Selain itu tambahnya, insentif pengambilan pekerja di bawah Program PENJANA Kerjaya sedikit sebanyak membantu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat yang kehilangan pekerjaan.

“Setakat hujung bulan September, Alhamdulillah proses pemulihan (perniagaan) berlaku begitu cepat.

“Walaupun kami masih belum mencapai 100 peratus (pemulihan), tetapi kita berjaya membuka cawangan baharu dengan adanya kaedah pemasaran yang baharu.

“Kita berjaya mendapatkan pelanggan baharu, membuka peluang yang lebih besar dan kami juga mendapat panggilan daripada ejen-ejen serta restoran baharu yang mahu mendapatkan bekalan produk kami,” ujarnya lagi.

Menerusi Program PENJANA Kerjaya, Rozilah berkata bayaran sebanyak RM600 diberikan kepada perantis; RM800 bagi pekerja di bawah 40 tahun; serta RM1,000 kepada pekerja yang berumur 40 ke atas.

Dalam perkembangan sama, Rozilah berkata beliau turut merancang untuk menambah enam lagi kakitangan dalam tempoh terdekat.

Sehubungan itu, beliau menasihati PKS dan para usahawan agar berani melakukan perubahan terhadap perniagaan mereka, selain merebut peluang bantuan yang disalurkan oleh kerajaan.

Antara produk yang dihasilkan oleh syarikat tersebut adalah pau sejuk beku berjenama MAMAS dan Mama Best Food yang dibekalkan kepada kafe, restoran dan kios di seluruh negeri Sabah.

Terbaharu, produk tersebut turut dipasarkan di 16 cawangan BATARAS dan pasar raya yang lain.

Untuk rekod, program insentif Pengambilan Pekerja telah memberi manfaat kepada 1,846 majikan dan 19,243 pekerja di Sabah.