Vivo Malaysia menyasar meningkatkan jualan tahunan telefon pintarnya kepada dua juta unit daripada 1.5 juta unit yang dicatatkan sekarang.

Ketua Pegawai Eksekutif Vivo Technologies Sdn Bhd Mike Xu berkata Vivo Malaysia telah melancarkan lima model telefon pintarnya tahun ini dan merancang melancar lima lagi model pada separuh kedua tahun ini.

"Sebagai jenama teknologi berasaskan pengguna, Vivo mahu memenuhi keperluan rakyat Malaysia yang semakin meningkat dengan menawarkan pelbagai model sesuai dan terbaik kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas pelancaran telefon pintar Vivo S1, di sini, hari ini.

Vivo S1, model pertama daripada telefon pintar S-Series, menawarkan pelbagai ciri termasuk pengenalan diri menerusi sentuhan, kamera swafoto 32-megapiksel (MP), bateri pengecasan pantas dwi enjin dan tiga kamera belakang kecerdasan buatan (AI).

Telefon pintar itu didatangkan dengan dua warna unik - Skyline Blue dan Diamond Black, dan mempunyai enam gigabait (GB) RAM dan 128 GB ROM, menyediakan lebih banyak ruang memori untuk menyimpan video, muzik dan gambar.

Pada harga RM1,099, pelanggan boleh membuat pesanan awal telefon pintar itu mulai hari ini sehingga 26 Julai depan.

Vivo S1 boleh didapati di semua Vivo Concept Stores pada 27 Julai.

Pra pesanan juga boleh dibuat di platform dalam talian seperti Lazada, Presto Mall dan Vivo Store.

Vivo, syarikat teknologi China, memasuki pasaran Malaysia pada 2014, dan kini mempunyai 5,000 cawangan dan 20 pusat khidmat di Malaysia.

-- BERNAMA