Tan Sri Wahid Omar dilantik Pengerusi Bukan-Eksekutif (Non-Executive Chairman) Bursa Malaysai berkuatkuasa 1 Mei 2020.

"Alhamdulillah, saya amat berbesar hati dilantik sebagai Pengerusi Bursa Malaysia Berhad berkuat kuasa 1 Mei 2020. Sesungguhnya, Bursa Malaysia adalah sangat dekat di hati kerana saya pernah berkhidmat sebagai seorang Pengarah bebas selama tujuh tahun (2004-2011) termasuklah semasa ia menjadi sebuah syarikat tersenarai pada tahun 2005," kata Wahid kepada Astro AWANI pada Jumaat.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan penghargaan kepada Yang Berhormat Menteri Kewangan dan Yang Amat Berhormat Perdana Menteri atas kepercayaan dan keyakinan mereka terhadap saya. Terima kasih juga kepada Pengerusi terdahulu Datuk Shireen atas kepimpinan beliau sejak Mac 2019 yang lalu.

BACA: Saham Bursa Malaysia naik berikutan kemungkinan pelantikan Wahid Omar

"Saya berharap dapat bekerjasama rapat dengan ahli-ahli Lembaga Pengarah, barisan pengurusan dan lain-lain pihak berkepentingan dalam memacu Bursa Malaysia sebagai sebuah syarikat pasaran induk yang pelbagai, inovatif dan mampan ke arah mencapai wawasannya untuk menjadi pasaran terulung ASEAN yang bertanggungjawab dan mempunyai jalinan hubungan di peringkat global," tambahnya.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau termasuk Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom dan Menteri bertanggungjawab bagi Unit Perancang Ekonomi di Jabatan Perdana Menteri pada Mei 2013 (sebagai Senator).

Jawatan terakhir yang disandang beliau adalah Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB).