Dua persatuan mata wang kripto Jepun merancang untuk bergabung bagi membentuk badan kawal selia persendirian bagi menjamin keselamatan pelabur.

Ia susulan kes kecurian wang digital bernilai AS$530 juta (RM2.06 bilion) bulan lepas, kata sumber yang rapat dengan rundingan itu.

Menurut laporan Reuters, Persatuan Blockchain Jepun dan Persatuan Perniagaan Mata Wang Kripto Jepun dijangka bergabung seawal April.

Entiti bergabung itu dijangka melantik ketua persatuan masing-masing sebagai pengerusi dan naib pengerusi, menurut sumber yang dipetik Reuters.

Persatuan Perniagaan Mata Wang Kripto Jepun dalam kenyataan bagaimanapun berkata tiada sebarang keputusan dicapai berhubung isu berkenaan.

Manakala wakil Persatuan Blockchain Jepun gagal dihubungi bagi mendapatkan reaksi.

Bulan lepas, pengodam berjaya mencuri sejumlah AS$530 juta (RM2.06 bilion) mata wang kripto dari syarikat Jepun Coincheck Inc, menjadikan ia kes kecurian wang digital terbesar pernah berlaku.

Kes itu sekali gus membuktikan kelompongan sistem keselamatan wang digital di Jepun dan menimbulkan persoalan tentang tindakan susulan negara itu dalam mengawal selia industri berkenaan.