WCT Bhd, anak syarikat milik penuh WCT Holdings Bhd (WCT), berjaya mendapat kontrak bernilai RM1.77 bilion daripada Impian Ekspresi Sdn Bhd (IESB) bagi membina dan menyiapkan sebuah projek pembangunan komersial.

Skop kerja terbabit adalah sebahagian daripada Pavilion Damansara Heights yang meliputi pembinaan sembilan menara pejabat dan tiga blok pangsapuri perkhidmatan di atas sebuah kawasan podium terdiri daripada ruang runcit, aras mezanin dan kerja-kerja di aras bawah dan tempat letak kereta bawah tanah.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, WCT berkata pembinaan itu yang dijadual bermula bulan ini juga dijangka siap dalam tempoh 38 bulan.

Menurutnya, kontrak itu adalah transaksi urus niaga berulangan antara WCT Group dan IESB.

IESB adalah syarikat yang menyaksikan Pengerusi Eksekutif WCT, Tan Sri Lim Siew Choon mempunyai kepentingan saham tidak langsung manakala beliau dan Datuk Lee Tuck Fook iaitu Pengarah Urusan Kumpulan WCT menganggotai Lembaga Pengarah IESB. -- Bernama