Projek yang disertai pelbagai pihak dan tenaga boleh diperbaharu mampu menjadi kaedah pada masa hadapan dalam memenuhi keperluan tenaga di rantau ASEAN.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Loo Took Gee berkata ketika ini, empat negara ASEAN, iaitu Laos, Thailand, Malaysia dan Singapura sedang membincangkan projek berbagai pihak untuk memindahkan tenaga elektrik dari Laos ke Singapura.

"Nilai daripada projek seperti itu dapat dilihat dari segi pengoptimuman penggunaan sumber tenaga di rantau ini. Jika ia murah untuk dibeli, mengapa perlu membina loji jana kuasa?" katanya kepada Bernama di luar Forum Ekonomi Dunia Mengenai ASEAN 2016 di sini, hari ini.

Beliau, yang juga anggota panel semasa forum itu, berkata kejayaan projek tersebut akan menarik penyertaan negara anggota ASEAN yang lain, sekali gus mewujudkan pasaran dagangan tenaga elektrik dalam perkumpulan serantau berkenaan.

Loo berkata selain daripada projek berbagai pihak itu, tenaga boleh diperbaharu juga berupaya memainkan peranan penting sebagai sistem tidak terpusat dalam menyediakan bekalan elektrik kepada penduduk di kawasan pedalaman.

"Ketika ini, terdapat kira-kira 20 peratus penduduk di rantau ASEAN tidak mempunyai akses kepada tenaga, memandangkan mereka tinggal secara berselerak dalam lingkungan rantau ini.

"Mungkin tidak masuk akal untuk kita mempunyai sistem berpusat untuk menyediakan grid kepada mereka.

"Jadi, inilah asas kukuh untuk mewujudkan sistem tidak terpusat dengan tenaga boleh diperbaharu memainkan peranan yang sangat penting. Tenaga boleh diperbaharu mempunyai skop yang sangat luas di rantau ASEAN," katanya.

Loo berkata untuk menarik pendanaan bagi projek seperti itu, kerajaan negara-negara ASEAN perlu menetapkan dasar yang memberi keyakinan kepada pelabur di samping pelarasan rangka kerja pengawalseliaan yang ketika ini berbeza antara negara.

"Pelabur mahu memastikan pelaburan mereka menjana hasil yang diperlukan mereka," katanya.