Ini adalah peluang anda untuk belajar bersama gabenor bank pusat yang telah mengharungi pelbagai krisis mencabar khususnya dalam dunia perbankan dan kewangan.

Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz mengumumkan akan menjadi salah seorang daripada tenaga pengajar kampus Asia School of Business (ASB) yang bakal didirikan di Kuala Lumpur.

Zeti diapit Pengerusi Bersama Asia School of Business (ASB), Richard L. Schmalensee (kiri) dan Presiden/Dekan ASB, Charles H. Fine.- Foto Astro Awani

Kampus berkenaan merupakan kerjasama antara Asia School of Business (ASB) dan institut pengajian tinggi terkemuka dunia, Massachusetts Institute of Technology 's Sloan (MIT Sloan).

"Saya akan mengajar tentang Asia, pembangunannya serta transformasinya dan juga mengenai kepimpinan. Dan saya sebenarnya telahpun mula mengajar di bank pusat sebelum ini," ujar beliau yang membuat pengumuman berkenaan pada majlis pecah tanah tapak pembinaan kampus ASB di ibu negara pada Selasa.

Menurut Zeti, apabila kampus itu siap kelak, ia bakal memberikan pelajar pendedahan luas terhadap persekitaran ekonomi negara membangun terutama di rantau Asia.

Zeti bersama barisan lembaga pengelola Kampus Asia School of Business pada majlis pecah tanah tapak pembinaan kampus itu pada Selasa - Foto Astro Awani

"Kita telah menghimpunkan beratus-ratus syarikat serta firma di Asia untuk bekerjasama dengan kami dimana pelajar akan melaksanakan projek yang diselia oleh firma berkenaan dan juga pihak kami,"

"Ini adalah sesuatu yang mengujakan kerana kami mahu lahirkan pemimpin di masa hadapan serta pemimpin dalam bidang perniagaan di rantau ini dan memberi mereka pengalaman menakjubkan sepanjang pengajian mereka di kampus ini, " tambah Zeti.

Kampus Asia School of Business (ASB) yang terletak di Bukit Perdana ini dijangka siap menjelang 2018.