Kira-kira 10,000 penduduk wilayah selatan Thailand di sini, hari ini berhimpun untuk memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Raja Bhumibol Adulyadej yang mangkat pada usia 89 tahun pada 13 Okt lepas.

Majlis itu, yang diketuai oleh Gabenor Wilayah Pattani Wiranant Janpeng, diadakan di tepi Sungai Pattani di tengah bandar ini.

Wiranant berkata majlis itu bertujuan membolehkan rakyat tempatan termasuk kakitangan awam, pelajar dan masyarakat tempatan mengingati jasa mendiang Raja Bhumibol tanpa mengira latar belakang kaum dan agama mereka.

Majlis sama turut diadakan di bandar Yala hari ini.

Mendiang Raja Bhumibol, yang diiktiraf sebagai raja paling lama bertakhta di dunia selepas 70 tahun, mangkat pada 13 Okt lepas di Hospital Siriraj, Bangkok akibat sakit berpanjangan. -- Bernama