Sebelas maut manakala 13 lagi dilaporkan hilang selepas sebuah empangan di Maharashtra, barat India, pecah akibat hujan lebat yang disifatkan terburuk dalam 10 tahun.

Menurut jurucakap kerajaan, kejadian pada Rabu itu turut menyebabkan puluhan buah rumah hanyut dibawa arus deras.

Di Mumbai, angka kematian akibat runtuhan bangunan di kawasan perumahan setinggan meningkat kepada 24 orang pada Selasa dengan jangkaan taburan hujan yang lebih banyak dalam masa terdekat.

Hujan lebat dijangka berterusan menyebabkan laluan kereta api dihentikan, penutupan lapangan kapal terbang dan kesesakan lalu lintas yang teruk.

Bagaimanapun, runtuhan bangunan dan empangan pecah bukan perkara luar biasa menjelang musim monsun di India disebabkan struktur binaan yang tidak kukuh.

Sementara itu, Pasukan Respons Bencana Negara India (NRDF) berkata mereka menggunakan dron di kawasan banjir di Empangan Tiware, 275 kilometer dari Mumbai.

“Kami telah mengenalpasti lapan mayat manakala 15 lagi masih hilang,” kata jurucakap Alok Awasthy kepada AFP.

Pada masa sama, enam pekerja buruh turut maut di bandar Pune apabila berlaku sebuah lagi runtuhan berhampiran Maharashtra.

Disebabkan itu, 100 penerbangan turut sama ada akan dibatalkan atau dilencongkan ke Mumbai pada Selasa.