Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan puluhan lagi cedera apabila seorang pengebom bunuh diri meletupkan sebuah kereta di pintu masuk pasar sayur utama di Baghdad pada Ahad.

"Seorang askar di pintu Pasar Jamila melepaskan tembakan pada kereta pengebom bunuh diri tetapi suspek telah meletupkan kenderaannya," kata jurucakap Kementerian Dalam Negeri Saad Maan.

Seorang kolonel polis dan pegawai hospital berkata sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dan 35 lagi cedera, lapor AFP.

Maan berkata askar yang melepaskan tembakan ke arah penyerang itu adalah antara yang cedera.

Jamila ialah pasar sayur-sayuran borong utama di Baghdad dan terletak di Sadr City, perkhidmatan yang luas, di kejiranan yang kebanyakannya berfahaman Syiah, di timur laut ibu negara ini yang telah berkali-kali menjadi sasaran.

Tidak ada pihak yang mengaku bertanggungjawab terhadap serangan itu tetapi semua insiden pengeboman baru-baru ini didalangi golongan pelampau Sunni daripada kumpulan militan Daish.

Serangan dahsyat yang terbaharu oleh Daish adalah pada 2 Januari - juga di Sadr City - apabila seorang pengebom berani mati meletupkan kenderaan penuh dengan bahan letupan ketika buruh harian menunggu pekerjaan, yang membunuh 35 orang.