Sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh dalam insiden kebakaran di sebuah hospital swasta di Brazil.

Pesakit dari Hospital Badim di utara Rio de Janeiro terpaksa dipindahkan apabila asap tebal mula merebak ke seluruh bangunan pada Khamis malam.

Lapor Reuters, kejadian itu telah mencetuskan panik apabila ada mangsa dilihat cuba melompat keluar dari bangunan hospital yang diselubungi asap tebal untuk menyelamatkan diri.

Pasukan penyelamat tiba di lokasi sebelum jam 6.00 petang waktu tempatan dan api berjaya dikawal dua jam kemudian.

Siasatan sedang dijalankan dan pihak pengurusan hospital mendakwa bahawa kebakaran berpunca daripada litar pintas.

Semua mangsa telah dikenal pasti dan kebanyakannya adalah pesakit warga emas yang ditempatkan di unit rawatan rapi.

Kebanyakan mangsa meninggal dunia akibat terhidu asap.

Mangsa paling tua dilapor berusia 93 tahun.