Seramai 12 orang dilaporkan cedera dalam letupan sebuah kilang kimia di luar lapangan terbang antarabangsa Kaherah, pada Khamis.

Jurucakap tentera Tamer el-Refai berkata menerusi Twitter, letupan di premis yang mengkhususkan dalam industri kimia tersebut berlaku akibat tekanan suhu yang terlampau tinggi.

Sejumlah besar anggota bomba dan pasukan perubatan dikejarkan ke lokasi kejadian bagi memadam kebakaran dan membantu mangsa yang cedera.

Agensi berita MENA yang memetik sumber pasukan keselamatan berkata, tahap kecederaan mangsa masih belum dapat dipastikan.

Sementara itu, pihak Jabatan Penerbangan Awam menafikan insiden berkenaan berlaku dalam kawasan lapangan terbang.

"Lalu lintas udara berterusan seperti biasa, dan jadual penerbangan tidak terjejas," kata jurucakap jabatan terbabit, Bassem Abdel Karim, dalam satu kenyataan. - Agensi