Susulan gempa kuat berukuran 6.2 pada skala Richter pukul 6.59 pagi tadi waktu Indonesia Barat, sebanyak 12 gempa susulan dicatatkan.

Menurut Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia, gempa susulan berukuran 5.2 pada skala Richter berlaku 7.08 pagi, sebelum berlaku beberapa siri gempa susulan berukuran di bawah 5 skala Richter sehingga 12 tengah hari ini.

Gempa bumi yang menggegarkan Wilayah Sumba Barat, Nusa Tenggara Timur (NTT) Indonesia bagaimanapun tidak mencetuskan tsunami dan tiada laporan kerosakan harta benda dan kehilangan jiwa dilaporkan setakat ini, lapor Bernama.

Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta berkata mereka kini memantau perkembangan gempa bumi di Wilayah Sumba NTT itu dan meminta rakyat Malaysia yang berada di wilayah itu supaya mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan.

Dalam perkembangan lain, Kedutaan Malaysia turut meminta rakyat Malaysia di Pulau Bali mematuhi arahan pihak berkuasa tempatan berikutan Gunung Agung di Bali kembali meletus pukul 3.42 pagi tadi.