12 pelancong terbunuh apabila sebuah bas yang membawa mereka ke lokasi kawasan purba Mayan di timur Mexico terbalik di tengah jalan raya pada Selasa.

Imej video dan gambar yang dikongsikan menunjukkan bas tersebut terjatuh di bahagian sisinya dengan beberapa penumpang yang cedera tercampak di atas jalan raya.

Sementara itu beberapa yang terselamat dan cedera ringan dapat dilihat berjalan di atas jalan raya.

Tujuh warga Amerika Syarikat dan dua rakyat Sweden antara yang cedera, sementara itu jurucakap pertahanan awam negeri Quintana Roo, Vicente Martin berkata pihak berkuasa masih belum dapat mengenalpasti kewarganegaraan mangsa yang terbunuh.

Pelancong yang menaiki bas itu merupakan kumpulan dari kapal pelayaran Royal Caribbean Cruises yang berasal dari Miami. Syarikat itu dalam satu kenyataan berkata penumpang terlibat merupakan pelanggan di dua kapalnya, Celebrity Equinox dan Serenade of the Seas. Syarikat itu turut berkongsi rasa simpati terhadap kejadian itu dan menawarkan bantuan pengurusan penjagaan perubatan dan pengangkutan.

Seorang jurucakap di kedutaan Amerika Syarikat di Mexico berkata mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk mengenalpasti jumlah warganegara mereka yang terlibat.