Sekurang-kurangnya 400 mangsa kejadian tsunami Asia pada 2004, yang mengorbankan 226,000 orang keseluruhannya, masih tidak dapat dikenal pasti di Thailand walaupun selepas 12 tahun, jelas pihak polis pada Isnin.

Tsunami yang membadai dari arah lautan Hindi dan berpunca dari gempa bumi bermagnitud 9.15 pada 26 Disember itu disifatkan sebagai bencana alam terburuk dalam sejarah.

Thailand, Indonesia, India dan Sri Lanka merupakan negara yang terburuk dilanda tsunami. Seramai 5,395 terbunuh di Thailand sementara 2,000 daripadanya merupakan pelancong luar negara.

“Semenjak tsunami pada 2004, pihak berkuasa telah menghubungi seramai 4,000 ke 5,000 saudara terdekat untuk hadir dan mengenal pasti mayat, namun terdapat 400 mayat yang masih tidak dikenal pasti,” jelas Anand Boonkerkaew, Timbalan Superintenden Polis daerah Takua Pa di wilayah Phang Nga kepada Reuters.

Musim puncak kedatangan pelancong di Thailand dan kawasan yang terkesan oleh tsunami masih berjalan seperti biasa. Terdapat hotel-hotel baharu menggantikan bangunan yang telah musnah sewaktu kejadian tersebut.

Thailand menjangkakan kunjungan seramai 32.4 juta pelancong luar negara pada tahun ini.

Pengkritik berkata bahawa sistem amaran tsunami Thailand tidak mencukupi, sebahagiannya adalah kerana tiada penyeliaan yang sempurna, namun pihak kerajaan pula telah mengesahkan bahawa sistem tersebut dalam keadaan baik.