SEBUAH jet peribadi yang dilaporkan hilang ketika dalam penerbangan dari Las Vegas ke Monterrey, ditemui pada Isnin.

Malangnya pesawat tersebut dijumpai terhempas dan dipercayai kesemua 13 penumpang dan anak kapal jet itu maut.

Perkara itu serta imej bangkai pesawat yang disiarkan stesen televisyen Mexico juga menunjukkan serpihan pesawat bertaburan di lokasi didedahkan oleh kerajaan negeri Coahuila.

Menurut pengawal trafik udara, mereka terputus hubungan dengan jet Bombardier Challenger 601 pada malam Ahad lalu, selepas ia dilaporkan hilang kawalan ketika berada di Coahuila, di utara Mexico.

Media Mexico melaporkan, pihak berkuasa percaya jet itu dinaiki sekumpulan penumpang yang menyaksikan perlawanan tinju membabitkan peninju negara itu di Las Vegas.

Pihak berkuasa berkata, cuaca buruk disyaki menjadi salah satu faktor kemalangan itu.