Militan al-Shabab meletupkan empat bom kereta di luar sebuah hotel di bandar Mogadishu, Somalia pada Jumaat, membunuh 20 orang dan mencederakan 17 lagi.

Polis berkata, selepas tiga letupan berlaku di hadapan hotel tersebut, letupan yang keempat berlaku ketika doktor cuba menyelamatkan mangsa yang cedera.

Menurut Kapten Mohamed Hussein, bom berkenaan diletupkan berdekatan Hotel Sahafi yang terletak di seberang jalan pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Polis Somalia.

Terdapat dalam kalangan mangsa yang terbakar sehingga menyukarkan proses pengecaman apabila bom kereta itu meletup bersebelahan bas mini.

Pasukan keselamatan Somalia menembak mati empat lelaki bersenjata yang cuba menyerbu masuk ke hotel berkenaan.

Menurut radio Adulus, militan al-Shabab mendakwa bertanggungjawab terhadap bom berkenaan.

Antara mangsa yang terkorban merupakan pengurus hotel tersebut, yang mana bapanya merupakan pemilik hotel itu sebelum dibunuh dalam serangan al-Shabab pada 2015.