Pihak berkuasa negeri mengesahkan 20 terbunuh dalam rempuhan melibatkan sebuah limusin di Schoharie, kira-kira 270km utara New York, pada Sabtu.

Insiden berlaku apabila limusin 2001 Ford Excursion itu terbabas ketika menuruni bukit dalam keadaan laju di sebatang lebuh raya.

Ia kemudiannya merempuh kenderaan lain serta orang awam yang berada di tempat kejadian.

Menurut polis, kemalangan itu menyebabkan kesemua 18 penumpang limusin, yang dipercayai membawa empat beradik dan kawan-kawan mereka untuk menghadiri majlis hari jadi, terbunuh.

Turut maut, dua pejalan kaki yang dirempuh limusin.

Ini merupakan antara kemalangan jalan raya paling teruk dalam tempoh 10 tahun di Amerika Syarikat (AS).

Susulan kemalangan itu, Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan AS memulakan siasatan.