Sekurang-kurangnya 23 orang maut manakala 10 lagi termasuk orang awam cedera dalam satu letupan dipercayai serangan bom di Idlib, barat laut Syria.

Menurut laporan Pemantau Hak Asasi Manusia Syria berkata, letupan itu disasarkan kepada ibu pejabat kumpulan pemberontak di Idlib.

"Letupan tersebut dipercayai berpunca daripada bom kereta atau serangan dron. Bagaimanapun perkara itu masih belum dapat dipastikan," katanya.

Tambah pasukan pemantau itu, sehingga kini pasukan penyelamat masih meneruskan kerja mencari dan mengeluarkan mayat mangsa selain membantu mangsa yang cedera untuk keluar daripada runtuhan bangunan.

Ujarnya, kebanyakan mangsa yang maut adalah anggota pasukan pemberontak dan tujuh orang awam.

Wilayah Idlib ialah kubu kuat pemberontak di Syria dan bersempadan dengan Turki, salah satu penyokong kuat pasukan pemberontak yang menentang Presiden Bashar al-Assad.

Pasukan tentera Syria dengan rakan sekutu mereka memulakan serangan sejak Oktober lalu bagi menawan semula wilayah Idlib dan Hama.