SEKURANG-kurangnya 26 individu maut apabila sebuah letupan menggegarkan lapangan terbang Aden pada Rabu, sejurus selepas anggota kerajaan baharu Yaman mendarat.

Insiden disifatkan sebagai satu 'serangan pengecut' oleh kumpulan pemberontak.

Walaupun semua menteri kerajaan dilaporkan selamat, lebih 50 mangsa tercedera.

Sumber perubatan dan kerajaan mendedahkan, angka kematian dikhuatiri terus meningkat.

Menurut badan bukan kerajaan antarabangsa yang terlibat dalam misi kemanusiaan, Doctors Without Borders, pihaknya sedang bersiap sedia melancarkan satu rancangan tindak balas perubatan bagi kematian berskala besar.

Jawatankuasa Antarabangsa Palang Merah (ICRC) berkata, seorang petugas mereka adalah antara yang maut, sementara dua lagi tidak ditemui, manakala tiga yang lain cedera.

Letupan kedua menyusul dengan kepulan asap tebal dilihat menyelubungi terminal.

Serpihan bangunan bertebaran di merata tempat, manakala orang ramai bertungkus lumus membantu mangsa tercedera.

Rakaman video menunjukkan sebuah objek kelihatan seperti peluru berpandu terbang ke arah bangunan terminal yang padat dengan pengunjung, sebelum meletup dan terbakar.

Punca sebenar letupan belum dipastikan.

Bagaimanapun, ia dikatakan tindakan keganasan yang didalangi kumpulan Houthi.

Pada lewat petang Rabu, satu letupan kedengaran di istana presiden di Aden.

Gabungan diketuai Arab Saudi mendakwa, pasukan keselamatan menembak jatuh sebuah dron yang cuba menyerang Istana Al-Masheeq.

Perdana Menteri Yaman Maeen Abdulmalik Saeed menyifatkan kejadian sebagai "serangan khianat, pengecut dan pengganas".

Katanya, buat masa ini, kerajaannya akan terus berada di Aden, yang terletak di selatan negara itu, untuk mengawasi "pemulihan negara kita".

Dalam kejadian itu, para menteri baru pulang ke Aden dari ibukota Arab Saudi, Riyadh, setelah mengangkat sumpah pada minggu lalu sebagai sebahagian rombakan kabinet susulan perjanjian dengan puak pemisah selatan.