Seramai 31 orang terkorban apabila bom diseludup masuk ke sebuah pasar di Kalaya, dalam daerah Orakzai, utara Pakistan, pada Jumaat.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi waktu tempatan itu, 50 yang lain turut cedera dengan 17 daripadanya dalam keadaan parah.

Kejadian di kawasan yang terletak kira-kira 60km dari Peshawar itu dipercayai berlaku apabila sebutir bom, yang disorokkan di sebalik timbunan sayur yang rosak, meletup.

Setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan.

Menurut pihak berkuasa tempatan, tidak dapat dipastikan sama ada letupan itu disebabkan oleh pengebom bunuh diri atau alat peledak yang diubahsuai.