Serangan udara di kawasan pemberontak di wilayah barat daya Idlib, Syria pada Khamis meragut nyawa 34 askar Turki, memetik laporan pemantau hak asasi manusia lapor agensi berita Xinhua.

Serangan udara Rusia dan Syria yang menyasarkan kawasan di antara bandar Bara dan Bilion di pedalaman Idlib, mengorbankan 34 askar Turki, dipercayai lebih ramai lagi maut.

Pertempuran tercetus ekoran ketegangan yang meruncing apabila Rusia menuduh Turki membekalkan sistem pertahanan udara mudah alih kepada kumpulan pemberontak di Idlib untuk menyasarkan pesawat perang Rusia.

Kumpulan pemantau berpangkalan di United Kingdom itu berkata Tentera Syria terus mara ke kawasan pedalaman di barat laut wilayah Hama, tengah Syria dan kawasan selatan Idlib - terletak 17 kilometer dari bandar Jisr al-Shughour.

Pertempuran berterusan di sekitar bandar Saraqeb di kawasan timur Idlib. Pemberontak yang disokong Turki menawan Saraqeb dan menyekat laluan di lebuh raya M5 yang menghubungkan Damsyik dengan Aleppo.

Menguasai lebuh raya itu menjadi matlamat utama operasi tentera Syria yang dilancarkan selama dua bulan di Idlib.

Awal minggu lalu, tentera Syria mengumumkan menguasai lebuh raya tersebut.

Media tempatan melaporkan tentera yang disokong Rusia melancarkan serangan balas untuk menawan semula M5.

-- BERNAMA