Empat maut manakala 31 lagi cedera selepas berlaku dua siri letupan di sebuah stadium di Lashkar Gah, Afghanistan, pada Sabtu.

Kejadian berlaku ketika orang ramai sedang menonton persembahan kebudayaan semasa meraikan sambutan Hari Petani, yang dihadiri hampir 1,000 pengunjung.

Gabenor Helmand, Mohammad Yasin Khan dilaporkan turut mengalami kecederaan dalam letupan berkenaan.

Terdapat saksi yang mendakwa letupan itu berlaku di dalam sebuah khemah kecil di dalam stadium, menyebabkan orang ramai bertempiaran lari menyelamatkan diri masing-masing.

“Berlaku kekecohan menyebabkan orang ramai berlari menyelamatkan diri. Pasukan keamanan meminta pengunjung bertenang sebelum berlakunya letupan kedua,” kata saksi.

Tambahnya, letupan berkenaan dilihat seakan-akan dicetuskan oleh bahan peledak yang disyaki ditanam di dalam tanah di bawah khemah petani yang ingin memasarkan produk mereka.

Tahun baru Persi disambut secara meluas di Afghanistan tetapi sebahagian komuniti Islam menentang keras perayaan berkenaan kerana mendakwa ia bukan amalan agama itu.