Dalam satu penstrukturan semula syarikat internet Google, ia kini di bawah syarikat induk yang dikenali
sebagai ‘Alphabet’.

Sebelum ini, Google terkenal dengan pelbagai projek termasuk kereta dipandu secara automatik, Google Glass, Google TV, dan Google+.

Media antarabangsa melaporkan bahawa dengan penubuhan Alphabet, ia boleh fokus kepada pelbagai projek dan mengekalkan Google untuk fokus kepada internet.

Berikut adalah lima fakta menarik tentang penstrukturan semula Google:

1. Syarikat induk ‘Alphabet’ masuk indeks Nasdaq

Menurut laporan AFP, penstrukturan semula Google berkuat kuasa pada Jumaat, dengan saham ‘Alphabet’ bakal memasuki pasaran pada hari Isnin.

Simbol GOOG dan GOOGL akan terus kekal dalam perdagangan.

2. Apa akan terjadi kepada Google?

Google sememangnya terkenal sebagai enjin carian dan setakat ini, tiada banyak perubahan yang drastik akan berlaku kepada produk-produk di bawah Google.

Walaupun ia kini dibawah syarikat Alphabet namun produk-produk Google seperti enjin carian, Google Maps, YouTube, Android masih kekal dibawah unit Google.

Google
Tiada banyak perubahan kepada Google dan produk-produk di bawah syarikat internet itu setakat ini. -Gambar fail

3. Projek di bawah Alphabet

Alphabet mempunyai banyak syarikat naungan di bawahnya dengan Google sebagai anak syarikat paling besar.

Ia akan memberi fokus kepada pelbagai projek termasuk dalam bidang kesihatan, pelaburan, penyelidikan dan internet.

Menurut CNN Money, antara unit lain di bawah Alphabet adalah Calico, Nest, Google Ventures, Google X, Fiber, dan Google Capital.

4. Siapa CEO Alphabet?

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Alphabet merupakan pengasas Google iaitu Larry Page. Sergey Brin, yang juga pengasas bersama Google kini bertindak sebagai Presiden Alphabet.

5. Siapa CEO Google?

CEO Google adalah Sundar Pichai. Perkara ini diumumkan pada bulan Ogos.

Sebelum ini Sundar Pichai mengambil tanggungjawab dalam operasi produk dan kejuruteraan untuk perniagaan Internet Google.