Sekurang-kurangnya lima sekeluarga maut pada Isnin selepas satu tanah runtuh melanda rumah mereka yang diperbuat daripada lumpur di Kashmir yang dikuasai India, kata polis.

Insiden tanah runtuh itu dicetuskan oleh hujan semalaman di kawasan Gandoh dalam daerah Doda, kira-kira 259 kilometer di selatan Srinagar, ibu kota Kashmir yang dikuasai India.

"Pada awal hari ini (Isnin), lima anggota sebuah keluarga termasuk tiga wanita tertimbus hidup-hidup selepas satu insiden tanah runtuh melanda rumah mereka di sini di Bhotli dalam kawasan Gandoh," kata seorang anggota polis yang bertugas di bilik kawalan polis Doda kepada agensi berita China Xinhua.

"Semua mayat telah dibawa keluar."

Menurut para pegawai, penduduk tempatan hanya mengetahui insiden itu pada sebelah pagi sebelum memaklumkannya kepada polis, yang kemudian mengeluarkan mayat mangsa daripada timbusan tanah runtuh dengan bantuan mereka.

Kashmir yang dikuasai India memiliki bentuk muka bumi yang berceranggah.

Insiden tanah runtuh sering dicetuskan dari kawasan pergunungan semasa hujan yang kerap. -- Bernama