Sekurang-kurangnya lima puluh penumpang maut apabila sebuah bas membawa 80 penganut Hindu terbabas sebelum menjunam ke satu kawasan lembah pada Selasa, dalam satu kemalangan yang dianggap antara paling buruk di negara itu.

Bas malang itu dalam perjalanan dari kuil Kondagattu Anjaneya Swamy di Telangana, selatan India.

Serpihan kaca, selipar dan pelbagai beg bertaburan di sebelah mayat-mayat di lokasi kejadian, sementara penduduk tempatan berusaha mengeluarkan mangsa-mangsa dari bas tersebut.

BACA: Bas terjun gaung: Selfie terakhir rakam detik sebelum kemalangan maut

Mereka kemudian membawa mangsa menaiki bukit untuk mendapat bantuan perubatan.

"Lebih dari separuh yang maut merupakan wanita, dan sekurang-kurangnya tiga kanak-kanak," kata seorang pegawai tempatan, G. Narendhar kepada wartawan AFP.

Menurut beberapa saksi yang ditemuramah stesen NDTV, mereka berkata pemandu bas memandu dengan laju dan hilang kawalan kenderaan itu ketika di satu selekoh tajam.

Difahamkan, semua mayat dibawa ke hospital untuk bedah siasat.

Pihak berkuasa juga telah mengarahkan satu siasatan dilakukan.

Sementara itu, Ketua Menteri Telangana, K. Chandrashekhar Rao berkata 500,000 rupee akan diberi kepada setiap keluarga mangsa yang meninggal dunia.

Kemalangan jalan raya di India meragut lebih 150,000 orang setiap tahun. Kebanyakannya adalah akibat jalan raya yang teruk, kenderaan yang tidak dijaga dan memandu secara melulu.