Singapura mencatatkan pertambahan 596 kes baharu COVID-19 setakat 12 tengah hari Ahad, menjadikan jumlah keseluruhan kes kepada 6,588.

Kementerian Kesihatan Singapura dalam satu kenyataan berkata, sebahagian besar mereka yang dijangkiti adalah daripada adalah pemegang permit kerja yang tinggal di asrama pekerja asing.

Kenyataan itu menyebut 25 daripada 596 kes baharu COVID-19 adalah rakyat Singapura dan Penduduk Tetap.

Kementerian Kesihatan Singapura dalam pada itu sedang berusaha mendapatkan maklumat lanjut mengenai kesemua kes berkenaan.

Perkembangan lanjut akan dikongsi melalui kenyataan media kementerian itu yang akan dikeluarkan malam ini.

Pada Sabtu, Kementerian Tenaga Kerja (MOM) Pihak Berkuasa Bangunan dan Pembinaan (BCA) mengumumkan semua pemegang permit kerja dan Pas S dalam sektor pembinaan akan diletakkan di bawah notis duduk rumah mandatori.

Ia berkuatkuasa 20 April hingga 4 Mei 2020.