Sekurang-kurangnya 16 pelarian termasuk enam kanak-kanak maut ketika cuba merentasi Laut Mediterranean pada Sabtu.

Bot yang dinaiki mangsa dilaporkan karam berhampiran sebuah pulau di timur Laut Aegean.

Menurut pihak berkuasa, hanya tiga pelarian -- dua wanita dan seorang lelaki -- berjaya sampai ke pantai.

Ketiga-tiga pelarian itu memberitahu pihak berkuasa bahawa mereka antara penumpang bot kayu yang tenggelam dengan 21 orang di dalamnya.

Agensi Bagi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Sabtu berkata ini adalah kejadian bot karam pertama di Laut Aegean tahun ini.

Dilaporkan kira-kira 500 pelarian dan pendatang maut di Laut Aegean sejak dua tahun lalu.

Hari ini ialah hari ulang tahun kedua perjanjian Kesatuan Eropah-Turki yang bertujuan menyekat penghijrahan berkala pelarian ke Eropah.