Sekurang-kurangnya 60 pendatang dikhuatiri terperangkap dalam sebuah kapal yang karam di tasik timur Turki minggu lalu.

Menteri Dalam Negeri Turki, Suleyman Soylu memaklumkam negara itu melancarkan misi mencari dan menyelamat yang melibatkan helikopter dan kapal selepas kapal yang membawa pendatang melintasi Tasik Van itu dilaporkan hilang pada 27 Jun.

Sehingga kini pasukan penyelamat hanya berjaya menemui enam mayat.

Soylu, yang melakukan perjalanan ke Van untuk mengawasi operasi menyelamat, memaklumkan, pihak berkuasa menganggarkan kapal itu membawa antara 55 dan 60 migran ketika ia karam dalam cuaca ribut.

Susulan itu, 11 orang turut ditahan berkaitan tragedi itu dan seorang pentadbir dilepaskan dari jawatannya kerana menangguhkan laporan kejadian berkenaan.

Media tempatan melaporkan, kesemua migran dipercayai dari Pakistan, Afghanistan dan Iran.