Pihak berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura menemui 7,500 paket tembakau yang disembunyikan di bawah timbunan karipap dalam sebuah van bernombor pendaftaran Malaysia di Pusat Pemeriksaan Tuas, Sabtu lepas.

Menerusi hantaran dalam laman Facebook ICA hari ini, pegawai pihak berkuasa itu memberhentikan van terbabit dengan muatan yang diisytiharkan sebagai karipap yang dibungkus di dalam beberapa kotak, untuk pemeriksaan lanjut.

Sehubungan itu, seorang pemandu lelaki Malaysia berumur 32 tahun dan penumpang berumur 30 tahun dirujuk kepada Pihak Berkuasa Sains Kesihatan untuk tindakan lanjut, katanya.

"Sempadan kami adalah pertahanan pertama kami dalam menjaga keselamatan Singapura," kata pihak berkuasa itu.

ICA berkata pihaknya akan terus melakukan pemeriksaan keselamatan terhadap penumpang dan kenderaan untuk mencegah percubaan penyeludupan manusia, senjata, bahan letupan atau kontraban lain.

Kaedah penyembunyian yang sama digunakan oleh penyeludup mungkin digunakan oleh pengganas untuk menyeludup senjata api dan bahan letupan untuk melakukan serangan di Singapura, katanya.

-- BERNAMA