Sekurang-kurang tujuh maut manakala dua lagi masih hilang dan dikhuatiri lemas selepas bot nelayan yang dinaiki mereka bertembung dengan kapal minyak di perairan Incheon, Korea Selatan.

Jurucakap Pengawal Pinggir Laut negara itu berkata angka korban dijangka meningkat kerana enam daripada 13 mangsa yang berjaya diselamatkan kini berada dalam keadaan kritikal dan tidak sedarkan diri.

Tambahnya, 22 orang berada di atas bot nelayan 9.8 tan itu ketika kejadian pada Ahad sebelum ia bertembung dengan kapal mengisi minyak seberat 336 tan.

Kapal tersebut tidak mengalami kerosakan.

Menurut kenyataan dari pejabat Presiden Korea Selatan, usaha menyelamat melibatkan unit helikopter dan kapal terbang.

Setakat ini, lebih 10 kapal tentera laut dan pengawal pinggir laut termasuk empat helikopter telah dikerah ke lokasi kejadian.