Lapan orang pendaki terperangkap lalu maut di dalam sebuah gaung di Calabria, selatan Itali apabila hujan lebat membanjiri gaung tersebut pada Isnin.

Mereka yang maut adalah empat lelaki dan empat wanita.

Ketua agensi pertahanan awam di Calabria, Carlo Tansi, memberitahu bahawa 12 orang lagi, termasuk seorang kanak-kanak lelaki berusia 10 tahun, berjaya diselamatkan susulan banjir kilat di Raganello Gorge, sebuah tempat yang terkenal dengan aktiviti trek akuatik.

Kanak-kanak tersebut mengalami hipotermia dan merupakan antara enam orang yang tercedera.

Untuk rekod, masih belum jelas jumlah mangsa yang terperangkap dalam kejadian banjir tersebut.

Tansi berkata, terdapat sekurang-kurangnya tiga kumpulan pendaki di dalam gaung tersebut ketika kejadian.

Pihak berkuasa kini masih menjalankan tugas-tugas menyelamat.