Pihak berkuasa Afrika Selatan mengesahkan lapan terbunuh dalam satu letupan di sebuah kilang membuat senjata di Cape Town pada Isnin.

Para penyiasat sedang menentukan punca letupan di depoh kilang Rheinmetall Denel Munition itu, yang turut menggegarkan tingkap rumah di sekitar kawasan.

Menurut agensi berita Afrika, pegawai bomba Cape Town, Theo Layne berkata ramai mangsa turut dilaporkan cedera.

Agensi yang berpusat di Afrika Selatan itu berkata, beberapa orang dilaporkan hilang dan pasukan bomba bergegas ke tempat kejadian untuk memadam kebakaran.

Denel, pengeluar senjata milik negara Afrika Selatan, mempunyai kepentingan besar dalam kilang berkenaan.

Menurut saksi, letupan itu terlalu kuat dan menggegarkan kediaman mereka.

Mereka mendakwa, letupan itu bukan kali pertama berlaku cuma sebelum ini, ia dalam skala yang kecil.