Sekurang-kurangnya 10 terbunuh manakala 16 lagi cedera dalam kejadian rempuhan van di Toronto, Kanada pada Isnin.

Jurucakap polis Toronto melaporkan, kenderaan itu telah memasuki laluan pejalan kaki sebelum merempuh orang ramai.

Memetik laporan Reuters, van itu kemudian telah berhenti di tepi jalan, sebelum polis berjaya menahan pemandunya sejurus selepas insiden itu berlaku.

Setakat ini, polis belum dapat mengenal pasti punca kejadian berkenaan yang berlaku pada jam 1.30 tengah hari (waktu tempatan) itu. Identiti suspek juga belum dikenal pasti.

Menurut seorang saksi, pemandu berkenaan dipercayai dengan sengaja telah merempuh pejalan-pejalan kaki tersebut.


"Siasatan ini akan memakan masa yang panjang," kata Timbalan Ketua Polis Toronto, Peter Yuen kepada pemberita.

Susulan kejadian itu, lima mangsa dikatakan sedang kritikal dan kini sedang dirawat di Pusat Kesihatan Sunnybrook.

Menteri Keselamatan Awam Kanada, Ralph Goodale, dalam satu sidang media, bagaimanapun enggan mengulas lanjut tentang motif kejadian.

"Tiada maklumat lanjut yang boleh disahkan pada ketika ini.

"Polis sedang melakukan siasatan menyeluruh untuk menentukan apa yang berlaku dan mengapa ia berlaku, termasuk motif kejadian," kata Goodale.

Insiden ini disifatkan antara yang paling ganas dalam sejarah Kanada sejak kebelakangan ini.