Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi mempelawa rakan sejawatannya dari Palestin Mahmoud Abbas ke Kaherah bagi membincangkan lebih lanjut mengenai keputusan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

Jemputan berkenaan dimaklumkan menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan pejabat presiden Mesir pada Ahad.

Dalam kenyataan berkenaan Abdel Fattah mahu membincangkan kaedah berdepan krisis berkenaan tanpa menjejaskan hak rakyat Palestin untuk mewujudkan sebuah negara merdeka dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Sementara itu agensi berita rasmi Palestin WAFA mengesahkan kedua dua pemimpin berkenaan berhubung menerusi telefon pada Ahad. Abdel Fattah dan Mahmoud dilaporkan bersetuju untuk meneruskan rundingan bagi menangani kesan dan menyelaras tindakan pasca pengumuman kontroversi Trump itu.