Abhisit Vejjajiva meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Demokrat selepas partinya gagal mencapai sasaran 100 kerusi pada keputusan awal Pilihan Raya Umum Thailand, pada Ahad.

Berdasarkan keputusan tidak rasmi yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya negara tersebut, parti tertua Thailand itu kini berada di tempat keempat dengan hanya lebih 3 juta undi.

Parti Palang Pracharat (PPRP) mendahului dengan 7.5 juta undi, diikuti dengan Pheu Thai (7 juta), Demokrat (3.19 juta) dan Bhumjaithai (3.17 juta).

"Saya harus bertanggungjawab. Saya meletak jawatan sebagai pemimpin Parti Demokrat," kata bekas perdana menteri Thailand itu.

BACA: Pengundi mahu sistem demokrasi di Thailand dikembalikan - Penganalisis

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para penyokongnya dan berjanji akan terus bergiat dalam arena politik.

Bagaimanapun, Abhisit berkata beliau tidak akan menyokong Jen Prayut Chan-o-cha sebagai perdana menteri meskipun beliau tidak menentang jika PPRP menyertai Demokrat di bawah beberapa syarat.

Lebih 51 juta pengundi termasuk 7.33 juta pemilih pertama kali membuang undi hujung minggu ini untuk memilih 500 wakil ke Parlimen dengan 350 dipilih secara langsung menerusi pilihan raya kawasan, sementara baki 150 akan dipilih melalui senarai parti.