HANYA sebulan selepas kebanyakan sektor ekonomi dibuka semula di Amerika Syarikat, kes positif COVID-19 meningkat secara mendadak di beberapa negeri.

Di Florida, 8,553 kes baharu COVID-19 direkodkan minggu ini, iaitu jumlah tertinggi bagi tempoh tujuh hari.

Kadar kemasukan hospital di Texas pada Selasa pula melonjak 6.3 peratus kepada 2,056, angka tertinggi sejak pandemik global itu tercetus.

California turut mencatatkan kadar kemasukan hospital tertinggi sejak 13 Mei lalu dan telah menunjukkan trend peningkatan sejak 10 hari lepas.

Namun, beberapa pihak melihat bahawa masih terlalu awal untuk mengisytiharkan peningkatan itu sebagai gelombang kedua kerana peratusan berkenaan masih dianggap 'kecil'.

“Terdapat gelombang baharu yang bakal melanda di beberapa bahagian negara ini,” kata Eric Toner, pakar di Johns Hopkins Center for Health Security dalam laporan Bloomberg.

“Ia kecil dan masih jauh lagi setakat ini, namun ia akan datang.”

Sama ada pembukaan semula ekonomi menjadi faktor peningkatan kes secara mendadak turut dipertikaikan.

Ini kerana negeri lain yang mengambil langkah sama membuka sektor ekonomi seperti Colorado tidak menyaksikan jumlah kes positif melonjak dengan mendadak.

Dalam masa yang sama, peningkatan kes gelombang pertama negara itu masih lagi tidak menunjukkan tanda reda.

Kira-kira 5,000 hingga 6,000 rakyat Amerika dijangka meninggal dunia akibat virus itu mulai sekarang hingga 4 Julai, kata Profesor Nicholas Reich, pakar biostatistik dan epidemiologi University of Massachussetts dalam laporan Politico.com.

Setakat ini, hampir dua juta rakyat Amerika Syarikat dijangkiti COVID-19 sementara lebih 110,000 angka kematian direkodkan.