PERGI mengikuti perlawanan bola sepak, namun kembali dengan berita kehilangan keluarganya.

Itu yang dilalui seorang kanak-kanak berusia 12 tahun, Ahmadinata Adit Saputra, yang terselamat daripada tsunami yang membadai wilayah Banten Sabtu lalu.

Ketua Pusat Data dan Informasi Badan Bencana Nasional Indonesia (BNPB) dan jurucakap agensi mitigasi bencana, Sutopo Purwo Nugroho‏ menerusi akaun Twitter beliau telah berkongsi paparan video menunjukkan Adit ditenangkan oleh anggota polis saat dia kembali ke kampung halamannya.

Ketika tsunami berlaku, Adit berada di Bandar Lampung, mengikuti acara perlawanan bola sepak Dream Come True U13.

Remaja yang mengidolakan pemain Portugal, Cristiano Ronaldo, itu memasang impian untuk menyertai pasukan bola sepak kebangsaan Indonesia, dan merupakan salah seorang pemain bagi SSB Merpati Kecamatan Rajabasa.

Kesemua 25 pemain SSB Merpati ketika pulang dari perlawanan bola sepak tersebut, disapa serta disambut ahli keluarga masing-masing.

Namun, lain ceritanya bagi anak kelahiran Desa Waymuli, Rajabasa, Lampung Selatan itu yang kehilangan ibu dan adiknya dalam kejadian tsunami pada Sabtu lalu, yang turut memusnahkan rumah mereka.

Ayah Adit yang terselamat daripada musibah bencana itu, mengaku agak sukar untuk menceritakan keadaan sebenar kepada Adit, kerana bimbang akan keadaannya nanti.


Jumlah korban tsunami di kepulauan Jawa dan Sumatera meningkat kepada lebih 400 orang selepas gempa bumi dasar laut yang mempunyai kaitan dengan letusan gunung berapi Anak Krakatau.

Ratusan rumah dan bangunan rosak teruk akibat tsunami itu yang berlaku tanpa amaran di sepanjang Selat Sunda.