Seorang ahli politik Jerman di Brandenburg melepaskan semua jawatannya dalam parti selepas memeluk Islam.

Arthur Wagner memilih untuk meninggalkan parti Alternative for Germany (AfD) atas alasan peribadi, menurut Ketua Negeri Parti itu Andreas Kalbitz.

Menurut laporan oleh CNN, Kalbitz berkata beliau hanya mengetahui mengenai tindakan Wagner memeluk Islam melalui satu perbualan telefon selepas beliau melepaskan jawatannya.

"Saya sangat terkejut. Beliau (Wagner) sangat aktif dalam sayap Kristian parti," kata Kalbitz.

Wagner pertama kali dilantik sebagai wakil AfD pada 2015 dan pernah menjadi ahli jawatankuasa negeri yang bertanggungjawab ke atas komuniti gereja.

Dalam laporan tersebut, Kalbitz berkata bahawa pimpinan parti tidak memberi tekanan kepada Wagner untuk melepaskan jawatan kerana memeluk Islam.

"Parti ini menyokong kebebasan agama," tambahnya.

Walaupun ditubuhkan sebagai parti anti-eropah pada 2013, AfD telah berkempen atas platform anti-Islam pada 2015 ketika isu kemasukan migran ke Jerman.

Pada Pilihan Raya Umum Jerman tahun lepas, parti tersebut meraih tempat ketiga dengan memenangi 12.6 peratus undi.