Para penumpang yang ke Amerika Syarikat menaiki pesawat milik sesetengah syarikat penerbangan asing akan diminta untuk mendaftar masuk peralatan elektronik yang saiznya lebih besar daripada telefon bimbit.

Larangan itu bakal dikuat kuasa atas sebab-sebab mengelak kemungkinan ancaman keselamatan, lapor Reuters.

Peraturan baharu itu dijangka diumumkan pada Selasa oleh Jabatan Keselamatan Dalam Negeri AS, selepas dipertimbangkan pihak pemerintah.

Satu sumber menyatakan, peraturan itu bakal dikenakan kepada lapan atau 10 syarikat penerbangan. Satu sumber lagi mengiyakan laporan Associated Press yang menyatakan, larangan itu memberi kesan kepada prosedur pemeriksaan di 10 lapangan terbang di lapan buah Negara di Asia Barat dan Afrika Utara.

Reuters sebelum ini melaporkan larangan itu juga melibatkan syarikat penerbangan yang berpangkalan di Jordan dan Arab Saudi.

Tiada syarikat penerbangan AS yang dikenakan larangan yang sama. Penumpang dibenarkan membawa masuk peralatan seperti komputer tablet, pemain DVD mudah alih, komputer riba dan kamera, ke ruang kabin.

Sementara itu, CNN yang memetik seorang pegawai kanan AS melaporkan, larangan membawa masuk barangan elektronik ke atas beberapa pesawat syarikat penerbangan, mempunyai kaitan dengan aktiviti al-Qaeda di Semenanjung Arab dan juga berdasarkan maklumat dari Yaman.

Setakat ini, beberapa saluran media di negara terlibat, seperti akhbar Al Riyadh, melaporkan bahawa pihak berkuasa penerbangannya telah diberitahu bahawa ‘pesawat yang berlepas dari lapangan terbang Arab Saudi ke AS perlu mematuhi arahan agensi keselamatan AS iaitu komputer riba dan tablet perlu didaftar masuk dalam bagasi’.