Satu akaun Instagram memaparkan jalur komik mengenai keperitan hidup yang dihadapi oleh lelaki Islam homoseksual telah ditutup.

Ia susulan akaun tersebut dilabel sebagai “pornografik” dan diancam tutup oleh pihak berkuasa Indonesia.

Menurut Kementerian Komunikasi dan Informatika negara itu, Instagram telah membuang akaun bernama @Alpantuni berkenaan susulan laporannya atas pelanggaran peraturan media sosial itu.

Bagaimanapun, Instagram mengaku tidak terlibat dalam hal tersebut.

“Terdapat beberapa sebab lain mengapa satu-satu akaun itu tidak dapat diakses. Contohnya, jika pemegang akaun membuang atau menyahaktifkan akaunnya, ataupun menukar nama pengguna akaunnya.

Peristiwa ini tercetus selaku penentangan kerajaan dan orang umum terhadap golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di negara yang mempunyai rakyat Islam terbesar di dunia itu.

Menteri Komunikasi Rudiantara pada awalnya telah menyarankan bahawa Instagram berkemungkinan disekat di negara itu sekiranya akaun tersebut tidak dibuang.

Beliau berkata kepada CNN Indonesia, “Bahan yang mempromosi LGBT bercanggah dengan peraturan kesihatan, peraturan agama dan kefahaman budaya. Ia sememangnya tidak sesuai di Indonesia.”

Sebelum ia dibuang, kebanyakan komik yang dimuat naik ke akaun tersebut menggambarkan kisah seorang lelaki homoseksual berasal daripada sebuah keluarga alim di Indonesia yang bergelut dengan identitinya.

Antara muat naik ke akaun tersebut memaparkan sebuah gambar dengan dua lelaki di katil yang kemudiannya dibuli kerana orientasi seksualnya.

Akaun tersebut telah mengumpul sebanyak 6,000 pengikut sebelum dinyah aktifkan.

BACA: Dua remaja disebat kerana berpelukan di tempat awam