GUMPALAN darah terhasil pada otak seorang wanita di China selepas menghabiskan 20 jam terus-menerus bermain telefon bimbit dalam satu perjalanan keretapi.

Menurut South China Morning Post, wanita berusia 47 tahun itu telah menghabiskan masa bermain telefon sepanjang perjalanan bagi menghilangkan kebosanan.

Akibat keretapi yang sesak dengan penumpang, wanita itu dikatakan sukar bergerak dan kekal pada posisi tubuh mengiring ke kanan sepanjang perjalanan 20 jam.

Wanita tersebut kemudiannya pengsan selepas turun daripada keretapi sebelum dikejarkan ke hospital.

Selepas Imbasan Tomografi Berkomputer (CAT) dilakukan, didapati terdapat beberapa gumpalan darah pada otak wanita ini.

Seorang neurologist , First Affiliated Hospital, Jinan Universiti di Guangzho, Meng Heng berkata, “Kami mengeluarkan banyak gumpalan darah, hampir dua sentimeter secara keseluruhannya, kes ini adalah dua kali ganda daripada yang dihadapi pesakit pada kebiasaan.

“Kami membuat kesimpulan wanita ini kekal pada posisi tubuh terlalu lama dan mengakibatkan tekanan pada saluran darah leher bahagian kanan mangsa.”

Wanita yang tidak didedahkan identiti ini berada dalam keadaan yang sihat dan tidak menderita atau mengalami sebarang penyakit kardiovaskular sebelum kejadian itu.

Meng turut menegaskan bahawa para doktor kini melihat peningkatan pesakit muda yang menghadapi gumpalan darah.

Beliau turut menasihati pengguna telefon pintar agar berada dalam posisi yang selesa, memastikan terdapat pergerakan dan mengambil waktu rehat yang panjang dari melihat telefon telefon.